Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia merasa sangat dahaga. Lalu dia turun ke dalam sebuah perigi dan minum daripada airnya. Kemudian dia keluar. Tiba-tiba dia dapati seekor anjing sedang terjelir-jelir lidahnya sambil memakan tanah lantaran kehausan. Lantas dia berkata: "Demi Allah, sesungguhnya anjing ini telah ditimpa seperti apa yang menimpaku." Lalu dia turun semula ke dalam perigi itu. Dia pun memenuhkan sarung kakinya (dengan air), kemudian memegang sarung kaki itu dengan mulutnya. Lalu dia memberi minum kepada anjing itu. Lalu Allah menerima amalannya, memberi pahala dan mengampunkannya." Mereka pun bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah kita mendapat pahala kerana (berbudi) kepada binatang?" Baginda s.a.w. menjawab: "Pada setiap hati yang basah (iaitu makhluk yang masih hidup) ada pahala."
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Pengajaran hadis:
"Kelebihan sifat rahmat dan kasihan pada haiwan"
(Kitab al-adab- Koleksi hadis-hadis adab dalam Islam)
Perkongsian penulis:
Kadang-kadang terfikir dan merasa pelik, bagaimanakah hati orang yang menganiaya dan menzalimi makhluk Allah?? Tak ada ke rasa belas kasihan dalam hati mereka??
Sewaktu berpraktikal, dalam sebulan yang lepas, penulis ada berkenalan dengan seekor kucing. Pada awal perkenalan, keadaannya sangat menyedihkan. Masakan tidak, badannya betul-betul kurus dan hampir keseluruhan ekornya tiada bulu dan luka, dipenuhi dengan darah. Lalu penulis bertanya dengan kakak 'officemate"nya.
"Kak, kenapa dengan kucing tu?"
Katanya: "Kucing tu dah lama luka macam tu, kucing tu suka merayau-rayau cari makanan kat kedai-kedai makan area sini. Mungkin waktu kucing tu cari makanan, orang simbah simbah dengan air panas Sebab pernah satu badan kucing tu basah".
Huuh..terkejut!! Rasa nak marah, geram, kesian dan tak tahu nak cakap apa...
Manusia..manusia..kenapalah engkau bersifat begini??
Takde ke rasa kesian kat kucing tu??
Manusia,
Sedar tak, dunia ni bukan hak kamu sahaja, Allah ciptakan kita sebagai khalifah bukan untuk mentadbir dan menyenangkan kehidupan kita semata-mata. Malah lebih daripada tu. Skop kerja khalifah bukan hanya mencari duit untuk isi perut sendiri sahaja atau hanya mengadap buku atau laptop 24 jam sehari tanpa menghiraukan keadaan sekitar. Sampai kucing nak minta makanan sket pun tak boleh bagi. Bukannya susah pun, bagi lebihan makanan kita pun dia boleh makan.
Hati manusia, semakin hari semakin keras. Dah tak ada sifat belas kasihan pada makhluk Allah yang lain. Hidup hanya untuk diri-sendiri. Sebab tulah bila dia melihat haiwan, melihat pokok-pokok dan segala macam ciptaan Allah di dunia ni, takde sedikitpun boleh menambahkan iman mereka malah makin merosakkan lagi.
Sedangkan semuanya Allah dah sediakan sebagai bukti keagungan dan kebesaranNya bagi mereka yang berfikir.
Sekarang, kita sama-sama renungkan semula, adakah kita nak termasuk orang yang rugi.
Allah telah menyediakan ruang yang amat banyak untuk kita mengutip ganjaran pahala selagi hayat dikandung badan. Dengan berbuat baik pada makhluk Allah pun Allah sediakan pahala dan keampunan. Tinggal kita je nak raih peluang ni atau tak.
Muhasabah semula pada ayat:
"Pada setiap hati yang basah (iaitu makhluk yang masih hidup) ada pahala."
Jom kita sama-sama beramal, berkasih sayanglah dengan setiap "hati yang basah".
No comments:
Post a Comment