Total Pageviews

Sunday, September 27, 2009

BILA HATI TERASA RINDU…


Alhamdulillah, kembali semula ke tempat ku menuntut ilmu setelah lebih kurang seminggu pulang bercuti untuk menyambut aidilfitri bersama keluarga tercinta. Hakikatnya, dalam hati ini belum puas, kerana hasrat untuk pulang beraya di kampong tak kesampaian. Masakan tidak, hati ini terasa sangat rindu pada kampong halaman tempatku membesar mengenal erti kehidupan.

Terasa rindu pada hamparan sawah bendang yang terbentang luas disebalik jendela rumah usangku, air sungai yang mengalir tempatku dan keluargaku yang selalu memancing dikala musim tengkujuh tiba, kicauan burung yang tak pernah lekang diatas kehijauan pokok-pokok disekeliling rumahku, bunyi ayam yang berkokok pabila tibanya senja melabuhkan tirainya. Menghabiskan masa bersama teman-teman lama didalam kebun kepunyaan arwah nenekku yang penuh dengan pohon buah-buahan sambil mengumpul biji-biji getah untuk bermain congkak, memanjat pokok, menangkap anak-anak ikan, mandi sungai, dll… Alangkah rindunya hati ini pada suasana itu…

Masa-masa yang tak pernah kenal erti jemu untuk bermain-main dengan alam ciptaan Allah. Namun, semuanya adalah milik Allah. Dia yang Maha menentukan hala tuju hidup ini. Setelah segala-galanya telah dinikmati, bila-bila masa akan ditarik semula nikmat itu. Namun, ianya tetap menjadi kenangan yang sangat berharga dalam hidup ini..sebuah kenangan kehidupan seorang "ANAK KAMPUNG".

Tuesday, September 15, 2009

BERMULALAH SEBUAH PERJUANGAN..

Alhamdulillah...
Setelah beberapa ketika diberi kelapangan waktu setelah beberapa bulan menghabiskan masa berpraktikal.
Akhirnya sudah tiba masa untuk aku bangun daripada rehat untuk menatap kembali
buku-buku engineering yang dah lama tak terselak kat rak buku tu.
Baru beberapa minit yang lepas, dah dapat tajuk untuk
"Projek Rekabentuk Loji Biokimia" dimana menuntut masaku untuk tumpukan perhatian selama 2 semester yang tersisa sebagai syarat bagi mendapatkan ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan Biokimia.

InsyaAllah, untuk makluman semua, jika aku leka dengan projekku sehingga melupakan amanahku, mohon sangat antum ingatkan diri ini..
Sangat memerlukan sokongan semua untuk buat yang terbaik!!!
Sebab aku yakin, cemerlang adalah satu kewajipan bagi seorang Muslim.

Sekian dahulu makluman buat setakat ni.
Masih menanti tajuk untuk penulisan projek ilmiah (thesis) pulak..

Doakan kejayaan kita semua.

Friday, September 11, 2009

KASIHAN BELAS PADA HATI YANG BASAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Ketika seorang lelaki sedang berjalan, dia merasa sangat dahaga. Lalu dia turun ke dalam sebuah perigi dan minum daripada airnya. Kemudian dia keluar. Tiba-tiba dia dapati seekor anjing sedang terjelir-jelir lidahnya sambil memakan tanah lantaran kehausan. Lantas dia berkata: "Demi Allah, sesungguhnya anjing ini telah ditimpa seperti apa yang menimpaku." Lalu dia turun semula ke dalam perigi itu. Dia pun memenuhkan sarung kakinya (dengan air), kemudian memegang sarung kaki itu dengan mulutnya. Lalu dia memberi minum kepada anjing itu. Lalu Allah menerima amalannya, memberi pahala dan mengampunkannya." Mereka pun bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah kita mendapat pahala kerana (berbudi) kepada binatang?" Baginda s.a.w. menjawab: "Pada setiap hati yang basah (iaitu makhluk yang masih hidup) ada pahala."

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Pengajaran hadis:
"Kelebihan sifat rahmat dan kasihan pada haiwan"
(Kitab al-adab- Koleksi hadis-hadis adab dalam Islam)

Perkongsian penulis:

Kadang-kadang terfikir dan merasa pelik, bagaimanakah hati orang yang menganiaya dan menzalimi makhluk Allah?? Tak ada ke rasa belas kasihan dalam hati mereka??

Sewaktu berpraktikal, dalam sebulan yang lepas, penulis ada berkenalan dengan seekor kucing. Pada awal perkenalan, keadaannya sangat menyedihkan. Masakan tidak, badannya betul-betul kurus dan hampir keseluruhan ekornya tiada bulu dan luka, dipenuhi dengan darah. Lalu penulis bertanya dengan kakak 'officemate"nya.

"Kak, kenapa dengan kucing tu?"
Katanya: "Kucing tu dah lama luka macam tu, kucing tu suka merayau-rayau cari makanan kat kedai-kedai makan area sini. Mungkin waktu kucing tu cari makanan, orang simbah simbah dengan air panas Sebab pernah satu badan kucing tu basah".

Huuh..terkejut!! Rasa nak marah, geram, kesian dan tak tahu nak cakap apa...
Manusia..manusia..kenapalah engkau bersifat begini??
Takde ke rasa kesian kat kucing tu??

Manusia,
Sedar tak, dunia ni bukan hak kamu sahaja, Allah ciptakan kita sebagai khalifah bukan untuk mentadbir dan menyenangkan kehidupan kita semata-mata. Malah lebih daripada tu. Skop kerja khalifah bukan hanya mencari duit untuk isi perut sendiri sahaja atau hanya mengadap buku atau laptop 24 jam sehari tanpa menghiraukan keadaan sekitar. Sampai kucing nak minta makanan sket pun tak boleh bagi. Bukannya susah pun, bagi lebihan makanan kita pun dia boleh makan.

Hati manusia, semakin hari semakin keras. Dah tak ada sifat belas kasihan pada makhluk Allah yang lain. Hidup hanya untuk diri-sendiri. Sebab tulah bila dia melihat haiwan, melihat pokok-pokok dan segala macam ciptaan Allah di dunia ni, takde sedikitpun boleh menambahkan iman mereka malah makin merosakkan lagi.
Sedangkan semuanya Allah dah sediakan sebagai bukti keagungan dan kebesaranNya bagi mereka yang berfikir.

Sekarang, kita sama-sama renungkan semula, adakah kita nak termasuk orang yang rugi.
Allah telah menyediakan ruang yang amat banyak untuk kita mengutip ganjaran pahala selagi hayat dikandung badan. Dengan berbuat baik pada makhluk Allah pun Allah sediakan pahala dan keampunan. Tinggal kita je nak raih peluang ni atau tak.

Muhasabah semula pada ayat:
"Pada setiap hati yang basah (iaitu makhluk yang masih hidup) ada pahala."

Jom kita sama-sama beramal, berkasih sayanglah dengan setiap "hati yang basah".

Wednesday, September 9, 2009

DIMANA LETAKNYA NILAI KEIKHLASAN DALAM AMALAN KU??

Wahai jiwa yang bergelar da'ie,
Engkau datang menyeru manusia kepada keimanan dan mereka mempercayaimu pada apa yang engkau tampakkan. Namun, apabila yang engkau serukan tidak sesuai dengan suara batinmu, kemanakah engkau akan berlari daripada kekuasaan Allah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan tersembunyi dalam jiwa setiap makhluknya??

Benarkah...wahai jiwa, engkau termasuk dalam firman Allah:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal (iaitu) orang-orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh bberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan keampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia". (al-anfaal:2-4)

Janganlah engkau berharap, wahai jiwa untuk berada di atas jalan dakwah ini sebagai bentuk perjuanganmu tanpa hidayah dan keimanan yang dikurniakan pemilik jalan ini. Maka, bukalah pintu hatimu, agar cahaya iman dapat menembusi kedalamnya, dan Esa-kanlah Allah dalam keikhlasan penuh kepada-Nya semata. Jadikanlah kalimat Laailaaha illallah, Muhammad Rasulullah sebagai sistem hidupmu. Dari sana engkau dapat merasakan bahawa sesungguhnya Allah adalah cahaya bagi alam semesta raya.

Dengan kemuliaan, keagungan dan dan keperkasaan-nya, Dia menyinari sudut-sudut hatimu. Membuat setan-setan terkutuk beserta seluruh tenteranya dari golongan jin dan manusia, lari tunggang langgang dan menjauhkan darimu. Ingatlah ucapan mereka, "Niscaya akan aku jerumuskan mereka semua dengan godaanku." Namun, dengarlah tatkala Allah berfirman padanya, "Sesungguhnya engkau tak memiliki kekuasaan sedikitpun terhadap hamba-hambaku." Maka iblis dan pasukannya pun mengakui hal tersebut seraya berkata, "Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas di antara mereka." (al-Hijr:40)

Maka, jadilah engkau hamba Allah yang mukhlis (ikhlas), "Maka serulah Tuhanmu dengan ikhlas pada agama-Nya, walaupun orang-orang kafir itu benci." (Ghaafir:14)

Pesanan hasan al-Banna berkenaan keikhlasan:

"Tentang keikhlasan, maka saya menginginkan agar setiap ucapan seorang akh, perbuatan, dan jihadnya, seluruhnya ia tujukan untuk Allah semata, mengharap redha dan ganjaran pahala-Nya. Tanpa mengharapkan harta, jabatan, penampilan, title dan sebagainya. Pada saat itulah engkau akan menjadi sosok yang mengusung fikrah dan akidah. Bukan jundi yang mengharap harta dan manfaat duniawi. Katakanlah "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah semata, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dan kepada itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)." (al-an'am:162-163)

Mu'adz berkata, "Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat."
Beliau bersabda, "Ikhlaslah dalam agamamu, niscaya ia akan menjauhkanmu dari amal yang sedikit. " (HR Al-Hakim)

-Cebisan daripada buku "Kekuatan Sang Murabbi" - oleh :Prof Dr Taufik Yusuf al-Wa'iy

Monday, September 7, 2009

KAKTUS PENYEJUK HATI...



Sungguh!!! Maha hebat ciptaan Allah az-zawajalla..
Masakan tidak, pokok kaktus yang penuh duri pun boleh menjadi penyejuk hati..

Sebelum ni tidak pernah kusangkakan yang kaktus ni, satu tumbuhan yang sangat bermakna.
Dulu tengok kaktus sebelah mata je, sebab pokoknya penuh dengan duri lagipun, takdelah cantik sangat kaktus ni..tak secantik mawar atau pokok-pokok berbunga yang lain.

Kisah berjinak-jinak dengan kaktus ni bermula apabila ada sorang kakak (housemate-ku yang disayangi) bagi hadiah selepas pulang dari cameron Highland. Setiap hari, kaktus yang diberi serta beberapa koleksi kaktus yang lain itu, kusiram dan kujaga dengan penuh perasaan kasih sayang dengan harapan mereka dapat membesar dengan baik. Lama-kelamaan, terbit rasa sangat sayang pada mereka, setiap kali masuk ke bilik, perkara pertama yang kubuat adalah memandang kaktus tersebut.

Subhanallah, setiap kali aku memandangnya hatiku terasa tenang.
Terasa umpama kaktus tersebut sedang berbicara dengan diriku.
Dan aku harapkan kaktus tersebut akan menjadi teman sewaktu hati ini dalam kegelisahan. Kerana dengan memandang dan bercakap dengan kaktus itu, hatiku terasa sangat gembira..Inilah keindahan ciptaan Allah..




Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 191 yang bermaksud:

" Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka berfikir tentang kejadian langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan segalanya ini dengan sia-sia. Mahasuci Engkau maka jauhilah kami dari azab api neraka".

Thursday, September 3, 2009

DAH FINAL YEAR!!!

Assalamu'alaikum..

Alhamdulillah, selesai sudah praktikal di Mylab Scientific Sdn Bhd.
Banyak perkara baru yang diterokai dan dipelajari.
Rindu pada kakak-kakak "office mate" ku..
Terima kasih kak, atas tunjuk ajar dan bantuan.

Melangkah ke semester baru, sebagai kakak yang paling senior di Fakulti Kejuruteraan, UKM Bangi. Tak sangka, sekejap je dah tahun 4. Rasa macam baru masuk ke UKM. Terlalu banyak lakaran cerita yang terlukis sepanjang 3 tahun lebih belajar di UKM ni.

Cuma untuk semester baru ni, azam baruku sempena Ramadhan yang penuh barakah ini untuk menjadi mukmin yang terbaik insyaAllah. Mungkin semester ni agak sibuk, al maklumlah dah final year. Hari pertama pergi ke kuliah dah dapat 2 assignment. Hari ni tambah lagi satu.. Semoga Allah mempermudahkan jalan untukku berjihad di medan ilmu dengan tidak melupakan amanahku dalam mendokong agama Islam yang tercinta.

Dan yang paling penting, ingatan buat diri yang selalu alpa,
Ikhlaskan niatmu untuk melaksanakan segala amalan hanya untuk Allah!! Bulatkan tujuanmu untuk meraih RedhaNya.
Kerana engkau yakin keikhlasan hati merupakan kewajipan untuk mencium syurga Allah dan menatap wajahNya yang Agung diakhirat kelak. InsyaAllah..