Satu perkara yang sepatutnya kita maklumi bahwa ruang gerakan dakwah dari masa ke semasa semakin lebar membentang di hadapan kita.Ibarat sebuah bendera di mana kibarannya semakin kencang di mana semakin luas perkembangan dakwah, maka semakin kuat pula fitnah dan halangan.
Kita boleh menetapkan satu dari dua peranan dalam diri kita iaitu :
1. Menjadi penganalisa situasi yang suka berkomentar.
2. Menjadi pelaku yang produktif memberikan sumbangan.
Pertanyaan yang paling tepat bagi aktivis dakwah terhadap keadaan yang dihadapi pada ketika ini bukanlah :
“Siapakah yang telah melakukan prestasi yang tinggi sehingga gerakan dakwah berkembang hari ini?”
Tetapi sepatutnya :
“Siapakah yang bertanggung jawab ke atas perkembangan dakwah ketika ini dan di masa hadapan?”.
Dua pertanyaan tersebut menggambarkan persepsi kita dalam memandang diri sendiri.
Ketika gerakan dakwah ini kita pandang sebagai keperluan, maka sepesat manapun perkembangan yang dicapai tidak akan membuatkan kita menuntut ‘penghargaan’ kerana apa yang mesti kita fokuskan adalah bagaimana kita beramal bagi menjawab segala tuntutan di atas perkembangan tersebut.
Mari kita letakkan diri kita supaya berada pada persepsi seperti apakah diri kita?
Inilah saatnya kita diuji dalam memberi kefahaman terhadap ‘amal jamai’e’.
Kenyataan menunjukkan bahwa agenda gerakan dakwah dari masa ke semasa berkembang dengan begitu pantas namun faktor manusia seringkali menjadi jalan masuk kepada syaitan untuk melemahkan kita terutama ketika kita melihat aktivis dakwah berubah gaya dan penampilan kerana amanah barunya dan kemudiannya mereka mula :
a. Membangun kemasyhuran diri.
b. Menghitung prestasi yang telah dicapai.
Bagi siapa yang masih terjebak dalam kungkungan fitnah ini,
“Berhentilah dari kungkungan itu, inilah saatnya membuktikan semua komitmen dan kefahaman. Ingatlah, semakin tinggi kedudukan, semakin kencang angin menerpa. Sedarlah kita bahwa dalam perkembangan dakwah ketika ini, semua peringkat mengalami tekanan ‘angin’ yang sama kualitinya, dalam bentuknya masing-masing”.
BERATNYA AMANAH KEPIMPINAN
Kita perlu menyegarkan kefahaman kita tentang tanggungjawab amal. Tidak ada amanah yang kita rasa enak atau tidak enak.Amanah yang datang adalah untuk kita tunaikan. Posisi apapun kita dalam gerakan dakwah ini, di setiap bahagian ruangannya terdapat fitnah dan ujiannya masing-masing.Kita tentu masih ingat akan satu kenyataan yang dibuat oleh Khalifah Islam yang pertama iaitu Abu Bakar ra, ketika upacara perlantikannya :
“Ketahuilah, aku bukanlah orang yang terbaik di antara kamu, akan tetapi aku hanyalah seorang laki-laki seperti kamu, namun Allah menjadikan aku sebagai orang yang paling berat bebanannya di antara kamu.”
Perasaan ini adalah perasaan yang hanya dimiliki oleh ‘jiwa-jiwa yang bersatu’.
Ketika keistimewaan-keistimewaan amanah yang ketara itu sudah tidak ada lagi, lalu digantikan oleh sifat tawadhu’ dan persaudaraan (ukhuwah), maka :
“Tidak ada yang tersisa dari erti kepimpinan kecuali tinggal bebanannya yang berat.”
Lalu apa bezanya jenis amanah tersebut di hadapan Allah dengan apa yang ketika ini menjadi tanggungjawab kita?Ini adalah gambaran yang seharusnya membuatkan kita banyak merenung dan tidak menambah senarai pertanggungjawaban kita di hadapan Allah swt kerana :
“Semakin tinggi tingkatan amanah yang kita pikul, ianya hanya akan meninggalkan beban yang juga semakin berat.”
Jika kita mampu memberi komitmen dengan lapang dada dan melihat saudara-saudara kita dengan perasaan cinta kerana beratnya bebanan tersebut, maka gerakan dakwah ini tidak akan dibatasi oleh apa-apa jenis penghalang.Tuntutan untuk mengambil peranan nyata dalam gerakan dakwah adalah sebuah kemestian.Putaran gerakan dakwah dengan segenap perkembangannya meninggalkan tanggungjawab yang tidak ringan.
Jika kita pernah mendengar suatu kenyataan :
“Berpindah dari medan kata-kata kepada medan amal”.
Maka sekaranglah ketikanya dan inilah masanya aqad perniagaan dengan Allah diikrarkan.Siapakah di antara kita yang akan menjawab seruan Allah?
“…..Mahukah engkau Aku tunjukkan kepada perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih” (QS As-Shaf :10)
Siapakah di antara kita yang bersungguh-sungguh menggolongkan dirinya ke dalam jaminan Allah?
“Sesungguhnya Allah membeli diri dan harta sebahagian dari golongan orang-orang yang beriman dengan bayaran syurga…….” (QS At-Taubah : 111)
MASA UNTUK BERAMAL
Kita sudah lama membincangkan berbagai tema dan agenda dalam gerakan dakwah ini.
Kini :
1. Tiba saatnya kita mengamalkan semua kefahaman tersebut.
2. Setiap detik yang kita miliki adalah masa untuk menerapkan semua konsep gerakan yang telah lama kita letakkan dalam suatu sistem.
3. Di hadapan kita ada hamparan ruangan amal yang sangat luas.
Hamparan amal tersebut memerlukan :
a. Peranan kita semua.
b. Corakan wama yang menyejukkan pandangan.
c. Sentuhan rasa yang kental.
d. Semangat penghambaan yang membara kepada Allah swt.
Inilah ketikanya kita masuk ke dalam fasa seterusnya tanpa melupakan agenda fasa sebelumnya.Ini semua kita lakukan bukan semata-mata kita menjadi bahagian dari gerakan dakwah Islam ini, tapi sebagai rasa syukur kita kepada Allah swt kerana ternyata ia masih memberi kita kesempatan untuk berada dalam zaman yang penuh dengan berbagai kemudahan ini.Untuk itu, kita mesti menebus kesyukuran tersebut dengan meningkatkan kuantiti amal gerakan dakwah secara sempurna.
KEPENTINGAN AMANAH TARBIYAH
Persepsi yang salah terhadap amanah biasanya lahir dari peralihan orientasi hidup (ittijah) kepada material atau urusan-urusan duniawi.
Ini memberi kesan terhadap kelemahan keyakinan akan rezeki Allah swt dan akibatnya keterikatan terhadap agenda gerakan menjadi lemah kerana sebahagian aktivis disibukkan dengan urusan ‘ma’isyah’ (mata pencarian).
Pergerakan yang hebat menuntut penggunaan tenaga yang tidak sedikit. Aktivis dakwah terkesan berada di mana-mana, namun satu fenomena umum yang menyertainya adalah lemahnya ‘amaliah ubudiyah yaumiyah’ (amal-amal ibadah harian).
Ramai aktivis yang kemudiannya menyelesaikan amal ibadah hariannya pada tingkatan biasa-biasa sahaja.
Agenda-agenda peningkatan ‘ruhiyah’ yang disediakan sebagai ‘backup’ atau ‘charger’ mula menjadi tidak popular di mata para aktivis di samping tenaga yang ada memang sudah terserap habis.
Akhirnya semangat pencapaian ‘muwashafat’ (sasaran kualiti diri) seperti yang pernah bergema kuat sebelum ini mula mengalami penurunan.Lalu, apalagi yang membuatkan kita dapat bertahan menghadapi fitnah dan ‘mihnah’ ini jika ibadah kita menjadi perkara yang seharusnya diperbetulkan?
Satu lagi gambaran yang juga sebelumnya terpendam adalah cara pandang kita terhadap pembinaan diri.Dalam beberapa situasi, aktiviti yang menuntut waktu dan perhatian seringkali mengalahkan agenda-agenda pembinaan diri.
1. Ada yang minta izin untuk tidak menghadiri ‘liqa’’ mingguan kerana amanah di tempat tertentu.
2. Ada yang terlantar kerana murabbi dan pengelolanya sibuk dengan agendanya masing-masing.
Semua ini menyebabkan banyak aktiviti yang terkorban.
Profil dan gaya aktivis dakwah yang sudah sedemikian rapuhnya itu ditambah lagi dengan kelemahan dalam penguasaan ‘manhaj’ gerakan.Inilah kelemahan yang cukup besar bagi aktivis dakwah di mana kesannya benar-benar mengancam kelangsungan proses ‘takwin’ (membina dan membentuk).Kelemahan-kelemahan tersebut bahkan membuatkan sebahagian aktivis dakwah tidak berani menjadi ‘murabbi’ atau pembina generasi penerusnya.Bahkan ianya boleh menimbulkan perasaan rendah diri yang membuatkan aktivis dakwah tidak dapat berkembang dalam mengikuti agenda pentarbiyahan.
Kita berharap agar fenomena terakhir ini hanya bersifat sementara kerana akibat besarnya mungkin akan ada aktivis dakwah yang meminta untuk ‘pencen’ atau ‘berehat terus’ dari aktiviti dakwah dan tarbiyah.
RENUNGAN UNTUK KITA
Marilah kita bangkit!
Inilah tanggung jawab yang menuntut banyak kreativiti dan kecerdasan. Inilah ruang gerakerja yang tidak pernah mengenal perkataan selesai.
1. Lakukanlah apa yang boleh kita sumbangkan untuk mengisi ruang besar gerakan dakwah ini.
2. Jangan sekali-kali kita menganggap kecil, walau sekecil apapun sumbangan kita dalam dakwah ini.
3. Sesunggunnya Allah swt tidak mengukur pada besar kecilnya amal, melainkan sejauh mana keikhlasan dan kesempurnaan dalam kita menyelesaikannya.
Medan perjuangan adalah :
a. Wilayah panjang tanpa akhir, kecuali berakhir pada titik kemenangan atau kematian.
b. Jalan penuh rintangan di samping berhiaskan onak, duri dan ujian.
Arena panjang yang penuh ujian bukanlah tempat bagi para pencari pengalaman atau bahkan sekadar mengisi waktu terluang.
Di sini diperlukan para pejuang yang memberikan seluruh hidupnya demi agenda perjuangan kerana pada kenyataannya, kadang-kadang medan perjuangan dijadikan sebagai tempat mencari :
1. Keuntungan.
2. Kemasyhuran.
3. Wang demi kelangsungan kehidupan.
Semakin hari semakin kemenangan perjuangan mulai menampakkan kesannya ke permukaan dan segala keperitan perjuangan akan segera terbayar, maka di saat itulah banyak ujian kesenangan yang akan melalaikan para pejuang seperti dalam peristiwa Perang Uhud yang pada mulanya memperolehi kemenangan.
Ketika ini, tunas kemenangan mulai menggeliat dan mengembang manakala gerakanpun mulai menampakkan pengaruhnya.Namun, sesuatu yang kadang-kadang membuatkan hati kita tidak tenang adalah ketika ada yang terlena dengan riak-riak kemenangan.Kalaulah yang dilupakan adalah masalah-masalah keduniaan, itu sudah menjadi sebuah kemestian.Tapi pada realitinya, kadang-kadang kuantiti dan kualiti ibadahpun sudah menjadi agenda yang dilupakan.
Ketika ini, walaupun riak-riak kemenangan sudah menampakkan wajahnya di permukaan, namun, jangan terlalu sering mengucapkan kemenangan selagi mana masih banyak manusia yang jauh dengan pemilik dan yang memberikan kemenangan iaitu Allah swt.
Ini adalah kerana cita-cita kita bukanlah :
“Bagaimana menikmati kemenangan.”
Tapi yang lebih penting adalah :
“Bagaimana nilai-nilai kalimah syahadah mampu menjadi aqidah semua manusia sehingga ketundukan sepenuhnya kepada Allah swt di setiap lapangan dapat direalisasikan.”
Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu.
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu.
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu.
Teruslah bertahan, hingga kelemahan itu lemah menyertaimu.
Tetaplah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Tahu bahwa di setiap ruang waktu, terlalu banyak seruan dan ajakan untuk meninggalkan jalan hidup RasulMu dan di sela-sela ruangan waktu itulah kami berharap akan tetap istiqamah di jalanMu. Kami juga memohon agar Engkau memelihara harapan itu di hati kami sehingga ke akhir hayat kami dan menguatkan barisan kami, umat NabiMu saw.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Sumber: WAS. IKRAM.
No comments:
Post a Comment